Maria Arima
taken from tokeikedai. Posted by haizal78
Along menghempas pintu bilik sekuat hati. Biar ayah tahu. Biar mama tahu. Biar semua orang tahu Along memprotes keputusan ayah. Along berteleku di birai katil. Tangan sasa Along jatuh di kepala. Di ruang tamu ayah masih membebel. Entah apa biji butirnya Along pun tak tahu. Darahnya terasa panas. Maruahnya sebagai lelaki seakan tercabar. Selama ini, memang dia menurut setiap kata ayah dan mama. Tetapi, bila jodohnya juga ayah yang ingin tentukan, Along rasa itu dah melampau. Sebagai seorang anak, Along juga berhak memilih jodohnya sendiri. Masih terngiang-ngiang suara garau ayah di telinga Along sebentar tadi.
"Setuju atau tidak, Along tetap akan dijodohkan dengan Maria. Minggu depan dia akan pulang dari New Zealand. Dia akan tinggal di sini buat sementara waktu. Ayah mahu semua orang di dalam rumah ini melayan dia dengan baik. Terutamanya Along. Lagipun dia bakal isteri kamu."
" Tapi, ayah..."
" Tak ada tapi-tapinya lagi. Keputusan ayah muktamad." Belum sempat Along menghabiskan ayat, ayah terlebih dahulu menoktahkannya. Along meninggalkan ruang tamu tanpa permisi. Along kecewa. Lebih-lebih lagi pada mama yang hanya menjadi pendengar setia. Bagaimana dengan Arima? Gadis yang telah berjaya mencuri hatinya itu? Gadis yang telah terlanjur dicintainya? Setiap hari, hanya layar siber yang menjadi bahantara mereka berdua. Sesekali ada juga berbalas panggilan. Tak cukup dengan itu, surat pula pengganti diri. Cuma wajah Arima yang masih belum ditatapnya. Arima sering menolak setiap kali diajak berjumpa. Malahan, gambarnya juga sudah jenuh diminta Along.
Namun, Along akur dengan kehendak Arima. Selagi dia dan Arima masih setia antara satu sama lain, itu sudah mencukupi. Bagi Along, Arima adalah segala-galanya. Arimalah pengubat jiwanya. Arima jugalah dipahatkan di dasar hatinya sebagai suri hidupnya nanti.
Hari yang paling Along benci tiba jua. Maria akan tiba petang ini. Sengaja dia melewatkan kepulangannya dari pejabat. Selama seminggu ini, dia bagaikan orang asing di rumah sendiri. Sengaja dia mengelak untuk makan bersama ayah, mama dan adik bongsunya, Hazrul. Dia lebih selesa makan bersama Mak Jah di dapur. Itu pun selepas ayah dan mama masuk ke bilik. Baginya, hanya orang gaji yang sudah hampir dua puluh tahun berkhidmat dengan keluarganya itu saja yang memahami hatinya. Mak Jah umpama ibunya juga. Tempat untuknya mencurahkan perasaan selain dari Arima. Sewaktu Along pulang dari pejabat petang itu, ruang tamu rumah banglo itu riuh rendah dengan suara orang berbual. Along melangkah masuk dengan wajah yang mencuka.
"Haa...itu pun along dah balik!" Along mengangkat muka. Adiknya, Angah yang masih menuntut di UIA turut ada di situ. Angah tersenyum penuh makna pada Along. Along semakin meluat. Istimewa sangatkah perempuan itu hinggakan semua orang bagaikan ternanti-nanti kehadirannya?
"Along, inilah Maria," mama pula memperkenalkan gadis itu. Gadis yang membelakangkannya itu berpaling. Senyuman nipis menghiasi wajah Maria yang ayu bertudung. Along memandang sepintas lalu. Amat benci dia memandang wajah itu. Along meneruskan langkah menaiki tangga menuju ke bilik. Dia berhenti di mata tangga yang terakhir. Along memasang telinga.
" Degil!" Terdengar suara ayah bergema. " Tak apalah, Pak Cik. Dia letih agaknya." Suara lembut Maria bagaikan jarum mencucuk ke telinga Along. Along mencebik sedikit.
"Tunjuk baik konon. Entah-entah pakai tudung tu pun berlakon aje. Kat New Zealand tu entah berapa ramai lelaki yang dah jadi mangsa," getus hati Along. Along mempercepatkan langkah ke bilik.
Malam itu, Along masih menunjukkan protesnya. Along enggan makan semeja dengan Maria. Dia membatukan diri di dalam bilik. Matanya masih terpaku di skrin komputer. E-mail Arima berulang-ulang kali dibacanya. Arima akan ke luar negara? Ke mana? Along mulai risau. Tambahan pula, tempat yang akan dikunjungi Arima nanti amat terhad jaringan sibernya. Janji Arima untuk mengutuskan surat serba sedikit melegakan hati Along.
Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Perut Along mulai berkeroncong. Sejak pulang dari pejabat tadi dia tidak menjamah sebarang makanan. Perlahan-lahan Along mengintai keluar dari bilik. Suasana sunyi menyelubungi rumah banglo dua tingkat itu. Along melangkah menuju ke dapur dengan harapan dapat berbual-bual dengan Mak Jah sambil menikmati makan malamnya yang agak lewat.
Langkah Along terhenti tiba-tiba. Di dapur kedengaran suara berbual-bual. Dari sebalik pintu dapur dia mengintai. Mak Jah, Angah dan Maria sedang seronok bergelak ketawa. Aik!! Adiknya Hazrul juga ada di situ? Maria asyik bercerita. Yang lain asyik pula mendengarnya. Hati Along bertambah sakit. Rasa lapar yang menggila sebentar tadi terus hilang. Nampaknya gadis berkulit putih itu memang pandai menyesuaikan diri. Along menanam tekad. Perempuan itu tidak sepatutnya berada di sini. Perempuan itu tidak sepatutnya disukai. Perempuan itu juga tidak sepatutnya gembira tinggal di sini! Perlahan-lahan along naik ke bilik dengan hati yang membara.
* * * * ** * * * ** * * * ** * * * ** * * * ** * * * *
Maria merenung huruf-huruf yang tersusun rapi. Surat dari Mama Sally baru diterimanya sebentar tadi. Mama Sally bertanyakan keadaannya di Malaysia. Mama Sally takut dia tidak biasa dengan makanan dan cuaca di Malaysia. Yang lebih Mama Sally risaukan adalah kesihatannya. Panjang berjela pesanan mama Sally di dalam surat itu.
Maria tersenyum sedikit. Mama Sally, perempuan Inggeris yang telah lima belas tahun menerima ajaran Islam itu tidak pernah melayaninya sebagai anak tiri. Bagi Mama Sally, hanya Marialah anaknya dunia dan akhirat. Tambahan pula, perkongsian hidupnya dengan papa tidak dikurniakan cahaya mata. Keluhan kecil lahir dari bibir Maria. Sememangnya kedatangannya ke sini membawa hajat papa. Malahan hajatnya juga. Tapi, dia tidak pernah menduga akan menerima layanan sebegini dari Along. Ya! Hanya Along yang tidak melayaninya seperti manusia. Lelaki yang di harapkan dapat meringankan beban yang ditanggung itu pula semakin menjadi beban di fikirannya.
Selama seminggu dia di situ tidak sekali pun Along menegurnya. Malahan, pandangan mata Along juga melemparkan benci. Kata-kata Along secara langsung atau tidak, sering membuatkan matanya digenangi air. Tingkah laku Along memang sangat-sangat mempamerkan yang kedatangannya ke sini tidak disenangi Along. Hari pertama dia di bumi Malaysia ini telah pun membuktikannya. Along tidak langsung keluar dari bilik sejak pulang dari pejabat petang itu. Nasib baiklah Mak Jah, Angah dan Hazrul tidak bersikap seperti Along. Belum pun seminggu dia berada di situ, Along telah berani mempersendakan sikapnya yang tidak sekalipun menanggalkan tudung.
"Mak Jah, zaman siber ni orang perempuan kalau bertudung sebab nak ikut fesyen. Tambahan lagi kalau tinggal kat bandar-bandar besar macam K.L. ni." Maria yang sedang mencuci pinggan tersentak. Along yang sedang duduk meneguk air di dapur dikerlingnya sekilas. Mak Jah terpinga-pinga.
"Along cakap apa ni? Mak Jah tak faham."
"Orang pakai tudung bila nak keluar rumah je, Mak Jah. Tapi, kalau dah dalam rumah pun pakai tudung jugak, nak tunjuk alimlah namanya tu." Along bangun meniggalkan Mak Jah yang masih lagi terpinga-pinga. Maria hanya tertunduk.
Alangkah jahilnya Along. Salahkan dia memenuhi tuntutan agama itu? Bukankah menutup aurat bagi seorang perempuan itu wajib? Bukankah di rumah itu dipenuhi dengan lelaki yang bukan muhrimnya? Dia langsung tidak mempunyai pertalian saudara dengan keluarga itu. Uncle Johan hanyalah sahabat baik papa. Salahkah dia? Dia akui memang hatinya sedikit terusik dengan kata-kata Along. Biarkanlah! Along akan mengerti jua nanti.
Selama dia di rumah itu, bukan tidak pernah dia cuba untuk berbaik-baik dengan Along. Tetapi, Along yang berterusan menunjukkan rasa tidak senangnya pada Maria. Apa saja yang dimasaknya tidak akan dijamah Along. Malah, Along berani membuang bubur kacang yang dimasaknya bersama Mak Jah.
"Sedap bubur ni, Mak Jah!" Along bersuara. Maria yang ingin melangkah ke dapur berhenti serta merta. Dia tercegat di balik pintu dapur. Dia tahu, Along tidak akan makan kalau dia ada di situ.
"Haa...mestilah sedap! Maria yang masak," Mak Jah menjawap dalam senyum. Dijelingnya Along sekilas. Sengaja dia ingin melihat reaksi anak muda itu. Along berhenti menghirup bubur kacang yang dimasak Maria. Dia bangun membawa pinggan yang masih berisi bubur terus ke sinki. Alangkah terkejutnya Mak Jah apabila Along terus mencurahkannya ke dalam sinki.
"Along!!"
"Mak Jah dah samak ke tangan perempuan tu? Mak Jah tau ke apa yang di makannya di New Zealand tu? Mak Jah tau ke apa yang di pegangnya di sana? Baik Mak Jah samak perempuan tu satu badan. Kalau tak, sampai mati pun Along tak kan makan kat rumah ni." Along meluru keluar dari dapur. Hampir-hampir sahaja dia terlanggar Maria yang masih tercegat di pintu dapur. Along terkejut. Dia tidak sangka Maria ada di situ. Air mata Maria bergenangan. Tak sanggup dia memandang wajah itu. Maria tersentak. Bahunya terasa disentuh orang. Cepat-cepat dia mengesat air matanya yang hampir menitis.
Mak Jah melabuhkan punggung disebelahnya. Senyuman Mak Jah serba sedikit mengubat luka hatinya.
"Surat dari siapa?"
"Dari Mama Sally, Mak Jah!" Mak Jah mengangguk sedikit. Gadis itu cukup manis dimatanya. Budi pekertinya tidak tertanding dek kebanyakan gadis. Bertahun-tahun berhijrah ke bumi orang kulit putih itu, nyata tidak juga menukarkan peribadi gadis ini. Tetapi, sikap Along yang terus-terusan menunjukkan rasa tidak senangnya amat mendukacitakan Mak Jah. Tidak pernah Along bersikap yang sedemikian rupa. Along yang Mak Jah kenal dahulu amat berbeza dengan Along yang sekarang ini.
"Maria suka tinggal di sini?" tanya Mak Jah. Sengaja dia memancing perbualan dengan Maria.
"Suka!"
"Walaupun Along tak melayan Maria dengan baik?" Riak wajah Maria berubah seketika. Kemudian dia kembali tersenyum. Bahu wanita separuh abad itu dipautnya. Diciumnya pipi wanita itu berkali-kali seperti yang sering dilakukannya pada Mama Sally. "Walaupun Along tak melayan Maria dengan baik...sudah memadai dengan adanya Mak Jah di sisi Maria." Pipi wanita itu diciumnya lagi.
Mak Jah tertawa kecil. Pandai sungguh gadis itu menyembunyikan rasa hatinya. Hidung Maria yang mancung di picitnya. Akhirnya hasrat Mak Jah untuk mencungkil rasa hati Maria tidak kesampaian tapi disudahi pula dengan adegan usik-mengusik.
* * ** * * * ** * * * ** * * * ** * * * ** * * * *
Along memerhati adegan usik-mengusik antara Maria dan Mak Jah dari tingkap biliknya. Hatinya membara lagi. Mak Jah pun dah termakan segala kepura-puraan Maria. Dia tahu, kebanyakan gadis yang telah berhijrah ke negara penjajah tidak menjadikan budaya timur sebagai budayanya lagi. Lihat saja sepupunya Ayu. Tiga tahun menuntut ilmu di U.S., pulangnya sudah tidak seperti Melayu lagi. Dengan rambutnya yang diwarnakan perang dan matanya yang dah bertukar biru, cukup untuk membuatkan Untie Rosnah pengsan menyambut kepulangan anak perempuan kesayangannya itu. Namanya juga turut ditukar menjadi Alice. Yang lebih menyedihkan, Ayu lebih mengenali beer dan shandy daripada cendol dan sirap.
Along hairan! Maria seakan tidak terusik dengan segala apa yang telah dilakukannya. Sudah acap kali kata-kata yang menyakitkan hati dilemparkan pada Maria. Itu belum lagi dengan segala tindakannya. Entah berapa kali lauk yang di masak Maria menyembah tanah. Kalau Maria menonton T.V. bersama adiknya Hazrul, sengaja dialihnya ke rangkaian lain. Malahan, suaranya juga turut dikuatkan. Adiknya akan marah-marah padanya. Maria pula akan terus masuk ke dalam bilik.
Dia sering kali mencari peluang untuk menyakiti hati gadis itu. Tujuannya supaya Maria menolak hasrat papa. Kalau Maria sendiri sudah menolak, papa sudah tidak boleh memaksanya lagi. Dia akui Maria memang cantik. Bukan hanya luaran, malahan budi bahasanya juga. Tapi, hatinya bukan pada gadis itu. Hanya Arima yang bertakhta di hatinya. Hanya Angah yang tahu bagaimana kasihnya dia pada Arima. Tidak Mak Jah, mama, apatah lagi papa.
Arima..! Sudah hampir sebulan dia tidak mendengar khabar berita dari gadis itu. Jangankan surat, e-mel yang dihantarnya pun tidak di balas. Rindunya pada Arima sudah separuh mati. Hanya e-mel Arima yang terdahulu menjadi pengubat rindunya. Itulah yang dibaca berulangkali apabila rindunya pada Arima memuncak. Kenapa Maria yang jadi pilihan papa? Kenapa bukan Arima?
* * * * ** * * * ** * * * ** * * * ** * * * ** * *
Maria terbaring di atas katil. Matanya merenung siling yang berwarna kuning cair. Kosong! Tidak seperti fikirannya yang berserabut. Kepalanya terasa berdenyut-denyut. Dipejamkan matanya seketika. Kemudian dibukanya semula. Dia buntu!
Bagaimana harus dia berterus-terang dengan Along? Sudah hampir sebulan dia di sini. Dia mahu Along tahu cerita sebenar. Dia tak mahu Along terus-terusan menyalahkannya. Tetapi, Along bagai menutup terus talian silaturrahim yang ingin dibinanya. Bukan tidak pernah dia cuba untuk mendekati Along, malah mendengar suaranya pun Along tidak mahu. Inikan pula bertentang mata duduk berbincang bersama. Apa saja yang dibuatnya serba tak kena di mata Along. Apakah sudah tertutup pintu hati Along untuk mendengar penjelasan dari insan bernama Maria ini?
Maria bangun lalu duduk di birai katil. Dia sudah nekad. Dia tidak boleh tinggal di situ selagi Along tidak mengetahui segala apa yang tersirat di hatinya. Perlahan-lahan pintu bilik dibukanya. Dengan langkah penuh yakin dia menuju ke bilik Along. Apa nak jadi, jadilah! Dia nekad. Sampai di hadapan pintu bilik Along dia menarik nafas panjang...
Tok! Tok! Tok!
Tiada jawapan. Sekali lagi pintu bilik Along diketuk. Akhirnya pintu terbuka. Along menjelma dari balik pintu. Tiada segaris senyuman pun di bibir Along. Maria sendiri tidak mengharapkan apa-apa pun dari Along.
"Saya nak cakap sikit dengan awak," Maria memulakan bicara dengan suara yang sedikit bergetar.
"Nak cakap apa lagi? Tak puas-puas lagi dari kecik sampai besar asyik bercakap?" Along masih lagi dengan sikap egonya.
"Along , dengarlah dulu penjelasan saya ni. Berilah saya peluang untuk menerangkan keadaan sebenar."
"Penjelasan apa lagi?" Suara Along semakin meninggi.
"Semuanya sudah jelas sekarang yang awak tu memang pemusnah kebahagiaan orang lain."
"Jangan tuduh sembarangan, Along. Saya sendiri tidak minta ditemukan dengan awak. Apatah lagi mempunyai pertalian lebih dari itu."
"Baguslah kalau awak sedar siapa diri awak tu. Jangan ingat kedatangan awak ke sini akan mengubah pendirian saya. Tidak sekali-kali! Perempuan jalang macam awak ni tak layak untuk menjejakkan kaki ke rumah ini. Hentikan kepura-puraan awak dan baliklah semula ke New Zealand! Katakan pada bapa awak yang sampai mati pun dia tidak akan berbesan dengan bapa saya. Tempat awak bukan di sini!"
Kata-kata Along bagaikan halilintar memecah ke telinga Maria. Dia sudah tidak mampu mendengarnya lagi. Kepalanya kembali berdenyut-denyut. Perlahan-lahan dia berundur dan terus berlari ke biliknya semula. Kini jelaslah yang Along tetap tidak akan mendengar penjelasan darinya walau apa pun yang terjadi.
* * * * ** * * * ** * * * ** * * * ** * * * ** * *
Hati Along puas. Puas setelah apa yang terbuku di hatinya dapat dihamburkan pada Maria. Dia yakin yang Maria akan segera pulang ke New Zealand setelah mendengar apa yang dikatakannya. Dia tersenyum gembira. Cuti yang dipohonnya telah pun diluluskan. Dia akan bercuti ke Langkawi tanpa ada siapa pun yang mengetahuinya. Biarkan ayah dan mama tertanya-tanya ke mana dia menghilang. Sahabat baiknya Bakhtiar memang sudah lama mengharapkan kedatangannya ke bumi tumpah darah Mahsuri itu. Dan, dalam keadaan beginilah yang dirasakannya sesuai untuk dia mencari secebis ketenangan di sana.
Seminggu kemudian, Along sampai semula ke K.L. ketika jam menunjukkan hampir pukul 8.00 malam. Suasana di rumah sunyi sepi. Dia agak terkejut apabila melihat semua ahli keluarganya sedang duduk di ruang tamu bagaikan menunggu kepulangannya. Angah juga turut ada di situ. Kesemuanya diam membatu.
"Assalammualaikum...!" Along memberi salam lalu melangkah perlahan menuju ke ruang tamu. Tiada seorang pun yang menjawab salam yang dihulurkannya. "Anak tak mengenang jasa!"
Pang! Ayah yang kelihatan tenang tiba-tiba naik berang. Along terkejut. Pipinya terasa perit yang teramat sangat. Cecair merah meleleh keluar dari hidung Along.
"Sudahlah tu, bang!" Mama cuba mententeramkan ayah.
"Kalau aku tahu begini caranya anak pungut ini membalas jasa, aku biarkan saja dia merempat di tepi jalan tu dulu. Biarkan dia tahu untung nasibnya tak berumah."
"Sudahlah! Perkara yang lepas jangan diungkit. Mari kita ke hospital sekarang. Nanti apa pulak kata Hadi. Anaknya sakit, kita di rumah bergaduh anak beranak." Mama gosok bahu ayah berkali-kali.
Along termanggu-manggu. Anak pungut? Dia anak pungut? Jadi... aku anak pungut? Kenapa selama ini dia tidak mengetahuinya? Mengapa mama dan ayah merahsiakannya? Dia tersentak apabila terasa bahunya disentuh.
"Mari kita ke hospital. Dalam perjalanan nanti, Angah ceritakan apa yang terjadi selama Along tiada."
Along hanya menurut. Ayah, mama dan adiknya Hazrul hilang di dalam Honda CRV. Manakala, dia dan Angah mengekori kereta yang dipandu ayah dengan Kembara biru kesayangannya.
Dua puluh lima tahun yang lalu, Johan hanyalah pemandu kereta sapu yang beroperasi secara haram. Seorang bayi ditinggalkan di dalam keretanya. Memandangkan dia masih belum mempunyai zuriat, lalu anak itu dipelihara tanpa mengira asal usulnya. Beberapa tahun kemudian, dengan bantuan modal dari sahabatnya Hadi, dia membuka perniagaan dengan menjual batu-bata yang dibuatnya sendiri. Perniagaannya semakin berkembang dan dia dikurniakan sepasang zuriat lagi. Sehinggalah perniagaannya mengalami kerugian dan Hadi jugalah yang menjadi penyelamatnya. Dan sekarang, Johan memiliki syarikat pembekal bahan binaan yang terkemuka di ibu kota. Sebab itulah Johan begitu terhutang budi dengan Hadi dan inginkan ikatan kekeluargaan dijalinkan. Maria dan Along dijadikan taruhan. Along menolak sekeras-kerasnya tanpa mendengar penjelasan Maria. Dia terlalu ingin memberitahu Along bahawa dia tidak akan menerima sesiapa pun menjadi suaminya kerana....
"Kerana apa??" Along tidak sabar untuk tahu. Dia menoleh ke arah Angah yang duduk disebelahnya seketika. Matanya tertumpu kembali ke jalanraya.
"Dia menderita barah otak, Along." Mata Angah mula berkaca. Along menelan liur. Terasa kelat dan berpasir.
"Kerana lambat dikesan, tumornya semakin membesar dan tidak boleh diselamatkan lagi. Selama ini, hal itu disembunyikan dari kita sekeluarga. Dia datang ke sini dengan persetujuan Uncle Hadi untuk memberitahu kita hal yang sebenar. Hidupnya hanya bergantung pada ubat-ubatan dan dia menanti saat-saat akhir hidupnya."
Angah menarik nafas panjang. Air matanya yang ingin menitis disekanya dengan jarinya yang runcing.
"Kak Maria ditemui pengsan di hari kehilangan Along. Kata Mak Jah, dia terdengar Along dan Kak Maria bertengkar malam itu. Along hina dia walhal Along tak tahu keadaan sebenar. Along langsung tak mahu dengar segala apa yang ingin dikatakannya. Mengapa begitu tingginya ego, Along? Mengapa??" Angah mula teresak-esak.
Sesalan mula berputik didada Along. "Along begitu mengagung-agungkan Arima. Segala-galanya adalah Arima bagi Along. Tapi, pernahkah Along lihat wajahnya? Pernahkah Along melihat budi pekertinya?"
Pertanyaan Angah dibiarkan sepi. Along melayan fikirannya sendiri. Suasana sepi berlarutan hingga Kembara membelok ke perkarangan hospital yang lengang. Sebelum turun dari Kembara, sempat Angah bersuara
"Untuk pengetahuan Along, Arima adalah Kak Maria dan Kak Maria adalah Arima. Mereka orang yang sama. Maria Arima Binti Mohamad Hadi, itu nama Kak Maria."
Kata-kata Angah bagaikan petir membelah dunia Along. Kekesalan datang bertimpa-timpa. Lemah segala sendi-sendinya. Fikirannya melayang-layang. Entah bila dia mengekori langkah Angah masuk ke dalam hospital, dia pun tidak sedar.
Ayah dan mama kelihatan bersalam-salaman dengan seorang lelaki yang hampir sebaya dengan papa. Seorang perempuan Inggeris lengkap bertudung berdiri di sebelahnya. Dia tersenyum apabila melihat Along dan Angah sampai di hadapan wad.
"Arie banyak bercerita pasal awak," kata perempuan Inggeris itu dalam Bahasa Melayunya yang agak baik.
"Pergilah jumpa dengan dia. Tapi, dia sudah tidak kenal sesiapa lagi."
Along menolak perlahan pintu bilik yang tertutup rapat. Sekujur tubuh yang begitu dikenalinya terbaring kaku. Mak Jah yang sedang membaca surah Yassin mengangkat muka memandang Along. Surah Yassin ditutup dan Mak Jah keluar tanpa berkata apa-apa. Jantung Along bagaikan mahu luruh melihat keadaan Maria Arima. Pucat dan tidak bermaya. Bibirnya kering dan mengelupas. Maria sudah tidak bertudung lagi. Rambutnya pula boleh dikira dengan jari. Perlahan-lahan Along duduk di atas kerusi yang dikosongkan Mak Jah. Tangan gadis itu diraihnya. Begitu banyak yang ingin diucapkannya pada Maria sehinggakan sepatah perkataan pun tidak terkeluar dari bibirnya.
"Maria...!"
Along bersuara. Perlahan-lahan mata cengkung Maria terbuka kemudian tertutup semula. Dadanya berombak lemah. Jari-jemari Maria dikucupnya. Akhirnya air mata lelaki Along gugur satu persatu. Along menggenggam erat tangan Maria yang semakin dingin.
* * ** * * * ** * * * ** * * * ** * * * ** * * * *
Mak Jah keluar dari bilik Along. Angah yang ingin masuk ke bilik Along hanya memandang Mak Jah. Mak Jah menggelengkan kepala. Makanan yang disediakan Mak Jah sedikit pun tidak dijamah Along. Angah hanya memandang Mak Jah yang menatang dulang makanan menuruni tangga.
Angah masuk ke bilik Along. Dia melabuhkan punggung di birai katil Along. Along masih lagi leka menghadap komputer. Along begitu asyik menaip e-mel untuk Arima yang tak pernah berbalas sejak setahun lalu. Itulah aktiviti tetap Along semenjak pemergian Maria Arima ke pangkuan Ilahi. Kadang-kadang Along marah-marah sendiri. Marahkan e-melnya yang tidak berbalas. Along hanya akan makan apabila benar-benar lapar.
"Eh...Angah!" Along menyedari kehadiran angah. " Angah, nanti kalau Kak Arima balas e-mail Along ni, kan...Along nak kata ngan dia yang dia tu cantik. Tak payahlah nak sorok-sorok dengan Along lagi. Lagi pun, Along dah tak marah dengan dia. Along.............," Along terus bercerita tentang Maria Arima. Along akan terus bercerita tentang Maria Arima. Tak pernah jemu!
Air mata Angah mengalir perlahan.....
*...sedih plak..
No comments:
Post a Comment